Isnin, 18 Julai 2011

Mandi manda di tebing Sungai Singapura

Lima kanak-kanak ini riang bermandi dan bergembira di tebing Sungai Singapura. Ada yang sedang menanggalkan seluar ketika foto ini diketik. Err...maksud saya, arca mereka.

Seni dihargai di tempat umum biarpun di tebing sungai. Inilah antara wajah kota Singapura

Ahad, 17 Julai 2011

Hang Tuah di Kampung Glam

Tak kan Melayu hilang di dunia. Tanda kenangan pengunjung di Pusat Warisan Melayu, Kampung Glam yang di tutup oleh kerja pengubahsuaian. Setiap pengunjung diminta menuliskan sesuatu di dinding yang membataskan kawasan pemulihan dan Pusat Warisan Melayu. Kami ketiadaan pen yang sesuai untuk mencoretkan sesuatu diatasnya

Khamis, 14 Julai 2011

Sabah yang serba serbi

Seorang kawan memberitahu, Sabah adalah sebuah negeri yang serba lengkap. Ada banjaran gunung yang menghijau sekaligus menempatkan puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu. Lautnya yang menjadi sempadan antarabangsa jernih membiru dari udara. Hutannya menghijau dan pepohon yang tegak berdiri masih banyak lagi yang kekal menjadi hutan simpan dan sumber rezeki bagi penduduk yang masih bergantung kepada hasil hutan. Banjaran gunung turut mempunyai gua yang luas dan besar bagi hidupan liar yang ada kalanya sukar ditemui ditempat lain. Pantainya yang bersih dan pasir yang memutih sentiasa memukau perhatian pelancong untuk bersantai dibawah terik mentari. Kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk menjadikan sayur-sayuran dan buah-buahan kelihatan segar dan enak dilihat sebaik sahaja dituai. Masyarakatnya pula pelbagai dan dari berbeza jalur keturunan. Perkahwinan campur membentuk kelompok masyarakat baru dengan lenggok bahasa yang unik dan tersendiri.

Perjalanan menerusi udara tatkala menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mahupun Terminal Tambang Murah di Tanjung Aru sudah cukup memberikan pemandangan yang pelbagai terhadap Sabah yang menghijau dan membiru dari kejauhan. Kurang sekali kelihatan hutan batu dan bangunan konkrit yang hanya terlihat di pusat bandar Kota Kinabalu.

Keadaan ini semakin menjadikan Sabah sebagai negeri yang serba-serbi dan indah untuk dinilai dengan wang ringgit tatkala mahu mencari tempat untuk berkelana nanti.

Selasa, 12 Julai 2011

Nota Temasek 3



Istana Kampung Glam

Inilah dia Istana Kampung Glam yang menjadi saksi maruah bangsa yang terjual. Sewaktu menanti hujan teduh selepas makan murtabak di sebuah restoran mamak berhadapan Masjid Sultan, kami memerhati rintik hujan yang turun sambil berbicara akan kuasa dan maruah Melayu yang terjual di tangan penjajah. Hanya untuk menerima pencen yang entah berapa ribu sahaja. Dan kemudian anak cucu cicitnya dinyahkan dari istana.

Saya bercerita kepada mereka suatu artikel yang saya baca bertahun-tahun dahulu berhubung Istana Kampung Glam. Seluruh keluarga yang tinggal didalamnya berantakan bagaikan kena tulah dan daulat Sultan. Dek maksiat yang berleluasa, istana bukan lagi tempat suci untuk dihormati. Seluruh keturunan yang tersisa di arahkan keluar menyebabkan mereka merempat dan tanpa tempat berteduh.

'Istana' yang sudah dijatuh-tarafkan ini sedang dibaik pulih dan dijangka dibuka kembali pada Jun 2012. Ia dijadikan pusat kebudayaan Melayu bagi Melayu yang hilang Melayunya

Lembah Bujang 1


Perjalanan mengambil adik yang baru selesai pengajiannya di UiTM Sungai Petani pada Mei 2009 membawa kami sekeluarga ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah. Pasti ada yang hairan bagaimana kami sekeluarga memilih tempat ini sebagai lokasi lawatan, tetapi inilah minat kami sekeluarga. Unik, bukan?  :-)

Pengetahuan saya tentang tapak arkelogi Lembah Bujang cuma sebatas pengajian disekolah menengah. Ada candi yang besar dan tinggalan-tinggalan dari batu yang membentuk monumen ibadat yang menjadi kajian para pengkaji sejarah. Namun kesempatan lawatan itu membuka dimensi baru terhadap pandangan saya akan Lemabh Bujang.

Foto diatas memaparkan betapa Lembah Bujang bukan sekadar menempatkan tempat beribadat. Ia bermula dari kuala sebagai sebuah pelabuhan besar yang menjadi pusat perdagangan yang membawa masuk barangan, tempat pertukaran dagangan peniaga sebelum dibawa hasilnya ke lokasi lain. Boleh kita katakan Lembah Bujang ini telah maju beratus-ratus tahun sebelum Melaka menjadi entrepot. Kajian mendapati kerajaan Lembah Bujang wujud pada abad ke-5. Malah, ada juga penyelidikan yang mengatakan nama Lembah Bujang telah disebut sejak dari kurun ke-2.

Tapak Arkeologi Lembah Bujang ini sangat luas dan mencecah sehingga ke Ceruk Tokun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ia menganjur sepanjang sungai yang menjadi pengangkutan utama, melingkungi Gunung Jerai yang menjadi pedoman pelayaran pedagang diwaktu malam. Setiap kawasan yang boleh dihubungkan dengan laluan air ini merupakan penempatan yang makmur dan maju. Oleh itu, banyak sekali artifak ditemui di sekitar sungai, membawa kepada pembinaan candi-candi yang besar di kaki bukit sehinggalah kepada Gunung Jerai yang punya mitos tersendiri.

Kajian terhadap Lembah Bujang berterusan sejak 1960-an dan masih berjalan sehingga kini. Kerajaan negeri ketika mahu membangunkan kawasan sekitar sebelum ini seringkali menemui banyak benda yang tidak terduga. Keadaan ini menyebabkan Lembah Bujang perlu diselamatkan bagi melindungi artifak yang masih tertanam di dasar bumi. Masih banyak lagi yang perlu dikaji dan proses ekskavasi yang berterusan dilaksanakan bagi memastikan sejarah lampau dapat di nikmati dengan lebih adil dan tels.

Hatyai - 1

Satu peringatan ringkas yang mendalam. Sekali imbas, iklan ini menggambarkan peribadi pemiliknya, atau mungkin boleh kita rujuk kepada pemerintahnya yang bertegas mengatakan tidak kepada unsur yang membawa kepada kecuaian dan salah laku. Boleh juga kita panjangkan kepada unsur rasuah, duit kopi, duit poket, hadiah, komisyen atau saguhati yang bisa mendatangkan kerugian pada satu pihak dankeuntungan pada pihak yang lain tanpa pelru bekerja keras. Ketegasan ini padat dan tepat.


Alangkah bagusnya papan iklan seperti ini diletakkan di mana-mana pusat perniagaan, kawasan pembinaan, bangunan pejabat atau taman permainan di tanah air. Nilai kemanusiaan itu lebih mahal harganya berbanding wang ringgit. Bukannya wajah perempuan seksi dipergunakan pada iklan kereta!

Lokasi: Stesen Keretapi Hatyai Thailand sewaktu kembara berkeretapi pada 26-28 November 2010

Nota Temasek 2

Gedung Kuning

Awalnya saya menjangkakan bangunan ini adalah sebahagian daripada Istana Kampung Glam. Hasil bantuan enjin carian internet, bangunan ini asalnya Gedung Kuning yang menjadi kebanggaan Melayu Singapura suatu ketika dahulu.

Gedung Kuning dipercayai dibina pada 1860 dan dibeli oleh Haji Yusoff bin Haji Mohamed Noor pada 1912 yang dikenali sebagai Haji Yusoff 'Tali Pinggang'. Beliau merupakan usahawan Melayu yang berjaya di Singapura ketika itu dan terkenal dengan sikap pemurahnya kepada orang miskin.

Haji Yusoff menambahbaik Gedung Kuning dengan pelbagai hiasan dan artifak sekitar Kepulauan Melayu, Asia, Eropah dan Afrika. Gedung Kuning menjadi tempat berteduh bagi Haji Yusoff dan tiga generasi berikutnya sehinggalah ia diambil alih oleh kerajaan Singapura.

Pengakhiran milikan generasi Haji Yusof terhadap rumah ini begitu menyedihkan – ibarat ulangan kepada penamat kehebatan dan kegemilangan keluarga Melayu yang ada ketika itu. Akibat pergolakan keluarga yang disebabkan tidak ada kesefahaman dan kesatuan dalam menyatakan hasrat terhadap Gedung Kuning, binaan agam ini terjual (dijual?) kepada kerajaan Singapura pada harga SGD3.6 million untuk tapak seluas 13,254 kaki persegi pada 1999 biarpun ditentang oleh ahli keluarga yang tidak bersetuju. Mereka yang masih berada di Gedung Kuning diarahkan mengosongkannya dan terpaksa mencari penempatan baharu.

Bersama Istana Kampung Gelam, Gedung Kuning diperbaiki dan sebahagian binaan asal dari kayu diruntuhkan dan digantikan dengan konkrit tanpa menjejaskan bentuk asal dan warna kuning yang menjadi identitinya. Kini, Gedung Kuning merupakan sebuah restoran yang menyajikan hidangan Melayu kepada para pengunjung.

Begitulah antara maruah-maruah Melayu yang tergadai di Temasik


Maklumat tambahan boleh dibaca di  laman web rasmi Gedung Kuning

Stesen Keretapi Gemas



Bercerita tentang Stesen Keretapi Tanjong Pagar, teringat pula singgahan saya ke Stesen Keretapi Gemas yang letaknya di Gemas, Negeri Sembilan dua tahun yang lalu.

Sejak sekolah, semua rakyat Malaysia tahu betapa signifikannya stesen keretapi ini yang menjadi tulang belakang pengangkutan negara dalam mengangut hasil bumi dari stesen ke pelabuhan-pelabuhan utama dan bandar besar. Semua juga tahu betapa di Gemas, landasan berpecah membentuk huruf Y - satu cabang menghala ke pantai timur dan satu cabang lagi menuju ke utara dengan singgah terlebih dahulu ke Kuala Lumpur.

Landasan yang menghala ke pantai timur itulah yang melewati kebun getah abah, yang menjadi hiburan kami ketika kecil mengejar dan melambai keretapi yang lalu tepat jam 11 pagi, setiap hari tanpa lelah.

Stesen Keretapi Gemas ini senasib stesen Keretapi Tanjong Pagar - usang dan tua. Namun begitu ia tidak seagam jirannya di Temasek dengan binaan bernuansa koloni. Stesen Keretapi Gemas berdiri dengan kayu dan konkrit yang minina. Tidak ada yang berlebihan - pejabat penguasa stesen, kantin, kaunter tiket, tandas, ruang menunggu, pejabat bungkusan, pejabat polis, jejantas - semuanya tampak sederhana dan ringkas.

Landasannya berselirat. Menghala ke depoh atau sekadar dibina untuk menempatkan koc membawa kontena. Banyak gerabak usang tidak terpelihara, kepala gerabak yang tidak berfungsi duduk bebas di landasan tidak digunakan, rumput sudah memanjang tidak dipotong, kuarters usang menanti waktu untuk roboh dan koc kontena menanti waktu untuk berlepas.

Suatu masa dahulu, stesen keretapi ini seperti hidup segan mati tak mahu. Tatkala bandar Gemas menjadi laluan utama dan persinggahan pemandu dari pantai timur (Kuantan), Bahau, Kuala Lumpur (menerusi lebuhraya dan masuk di Simpang Ampat atau Alor Gajah) menuju ke selatan (alternatif lain ialah Tangkak dan Mersing), stesen keretapi ini kian dilupakan. Ia juga laluan kami pulang kek kampung. Dan setiap kali lalu lalang, akan terlihatlah stesen keretapi ini yang dimakan usia. Kadang kala nampak ia seperti baru di kemas, baru dicat. Di hari lain ia seolah-olah dibiarkan tidak bernyawa.

Pun begitu, ia ada nostalgia. Nuansa tradisi yang masih kekal seperti pada papan tanda, pokok kepala di pinggir landasan, wajah stesen ini masih punya nilai dan harga.

Stesen Keretapi Gemas kini diberi nafas baru. Dengan adanya ikhtiar terhadap pojek Landasan Berkembar Elektrik Seremban – Gemas, stesen yang luas dan besar ini kian hidup dan sibuk. Para kontraktor, pekerja, kenderaan berat, lori, kren, peniaga dan penjawat awam sering keluar masuk memastikan ia siap menjelang Ogos 2012. Projek sepanjang 98.2km ini dibina oleh IRCON International Ltd, anak syarikat Indian Railway, pada Januari 2008 dijangka memberi perkhidamatan tren berkuasa laju dengan kelajuan 140km sejam.

Nampaknya hayat Stesen Keretapi Gemas ini bolehlah bertahan untuk 100 tahun lagi...

Jakarta-Bandung-Bogor 2


Garuda berlepas tepat pada masanya. Ketika itu pada tingkap pesawat ada titik air menimpa. Moga-moga janganlah hujan, doa kecil saya. Duduk di tepi tingkap, dengan kamera ditangan memberi peluang luas untuk saya merakamkan wajah bumi Sepang-Nilai-Putrajaya yang hijau dan cantik tersusun. Matahari baru memunculkan diri, dan nampak jelas keindahan ciptaan Tuhan.

Semakin tinggi pesawat terbang, semakin meninggalkan daratan, saya dapat lihat awan yang indah menyelimuti suasana yang akhirnya duduk dibawah pesawat. Segera mengambil pen, mencatat berselang seli dengan kamera ditangan.

Melihat awan bergerak. Matahari masih malu keluar. Bumi hijau dibawah sana. Awan bergulung bagai kapas. Putih terapung-apung di dada angkasa.

Kemudian saya meringkaskannya kembali:

Awan bagai lautan terapung di angkasa. Bergulung-gulung bagai kapas di dinding maya

Jam 7.40 pagi (waktu Malaysia) matahari sudah mula bersinar. Matahari terbit dihujung ufuk.

Sepanjang ke Jakarta, matahari memancar cerah. Moga kecerahan ini saya harap bersinar terus hingga ke akhirnya nanti. Saya cuba melelapkan mata yang keletihan kerana bangun awal pagi, tetapi awan yang berada disisiku bagikan mengajak diri ini berbicara dengannya.

Saya kira waktu ini, pesawat sudah melepasi sempadan. Awan di Jakarta ini nampaknya tenang seperti laut tidak bergelora, seperti kapas bergantung tidak bergoncang ditiup angin, awannya tenang tidak berkocak (namun tidak sama dengan gelodak rasa marhaennya dibawah sana)

Jam 7.45 pagi giliran pesawat berada dibawah awan. Di bawah pesawat pula adalah lautan. Biru tenang, tidak ada langsung riak tercuit diatasnya. Satu dua kapal dagang meluncur ditengah segara. Pelabuhan Tanjong Periok nampak sesak dengan kapal dagang keluar masuk. Saya melihatnya seolah-olah mainan kapal anak-anak diatas kertas lukisan berwarna biru. Tatkala ini kelihatan tiada garis pemisah antara awan dan lautan. Dua-dua bertemu pada titik yang tidak kita tahu.

Pulau Jawa sudah nampak berbalam-balam dari jauh. Hati kian berdebar-debar.

Nota Temasek 1


Stesen Keretapi Tanjong Pagar

Kesemptan ke Tanjong Pagar - ke Stesen Keretapi Tanjong Pagar - membawa saya keluar dari perjalanan ke Tanjong Pagar. Banyak yang saya temui. Perjalanan di luar kotak. 


1) Setelah tiba di Stesen Keretapi Tanjong Pagar barulah saya menyedari kedudukannya yang sangat strategik dan 'merbahaya'. Terletak betul-betul dihadapan Pelabuhan Keppel yang sibuk dengan kontena dan lori keluar masuk, jalan besar dihadapannya membolehkan pengunjung menahan bas untuk meneruskan perjalanan.

Stesen ini sangat dekat dengan pelbagai tempat yang menarik di Singapura, apatah lagi ia mudah dihubungkan menerusi MRT Tanjong Pagar yang terletak hampir 1km dari situ untuk kemana-mana destinasi.


2) Salah satu perkara yang saya fikir mengapa Stesen Keretapi ini menjadi rebutan (kalau pun direbut) ialah kerana keadaannya seperti tidak terurus. Dalam stesen, suasana masih lagi tampak klasik dengan papan tanda yang usang, kedai makan yang tidak kemas, sampah yang bersepahan di sekitar rel, kemudahan (seperti tandas, surau) masih pada standard lama dan tidak kemas biarpun bangunannya masih utuh dan kukuh. Suasana ini sangat berbeza dengan stesen MRT yang moden dan ekslusif. Timbul rasa malu sebagai rakyat Malaysia bila mengenangkan keadaan ini.


3) Saya tiba jam 8.30 pagi. Perjalanan saya semalam dibantu dengan sistem pengangkutan MRT yang sungguh melegakan. Integrasi pengangkutan ini membolehkan penumpang bertukar dari satu lingkaran stesen tanpa perlu menjenguk dunia luar. Di interchange, ada dua layer landasan (kata Jenn Jenab, ada sampai tiga) yang menyebabkan saya teruja - bagaimana mereka boleh mengorek sehingga dalam begitu? Menggunakan General Machine Ticket pun menyebabkan saya terkial - tocuh screen dan ada deposit yang dipulangkan apabila tiba di stesen.

Oleh kerana MRT dan perkhidmatan bas sangat bersepadu dan memudahkan, ramai rakyat Singapura tidak perlu membeli kereta menjadikan mereka sihat kerana banyak berjalan untuk ke setiap stesen (rujuk Jenn untuk kesahihan fakta)


4) Sepanjang 14 jam di Singapura, saya dibawa ke Masjid Sultan, meneroka tinggalan bangunan di Bussorah Street, makan murtabak besar di Arab Street, mengenang nasib Melayu di Kampung Glam, kehujanan di Kandahar Street, melihat hasil seni dalam Esplanade yang menghidupkan seni dan budaya, melepaskan penat di hadapadan Esplanade sambil melihat kasino berbentuk perahu di puncak tiga bangunan, mengetik gmbar Merlion yang menjadi mercu tanda Temasik, melihat urban Melayu yang menakutkan di Orchard Road yang ramai sekali manusia, solat di Masjid al-Falahyang sepi, singgah ke La Pau Sat Market yang dipenuhi gerai makan yang menyelerakan, melihat bangunan tinggi di Raffles Street, makan aiskrim di tebing Sungai Singapura, menikmati petang di Raffles Quay dan menggambari Cavenagh Bridge, Asian Civilisation Museum, Dalhouse Obelisk, Victoria Theatre yang dalam pembaikan dan patung Raffles yang berteduh di bawah pondok kerana sedang di perbaiki.


5) Sejarah, semuanya adalah tingalan sejarah. Bercerita tentang Singapura, Melayu, Raffles, penjajahan dan pengkhianatan, semuanya merangkumkan apa yang Singapura nikmai dewasa ini.

Dan air di Sungai Singapura pun mengalir tenang tanpa ada rasa curiga...

Jakarta-Bandung-Bogor 1

 Pemandangan Jakarta dari udara sudah menggambarkan ia kota padat penduduk. Penjuru kiri atas ialah Pelabuhan Tanjong Priok

Ketika itu Garuda berlegar di udara sambil menanti waktu mencecahkan rodanya ke landasan Bandara. Saya menjenguk kepulauan Jawa yang menempatkan kota metropolitan Jakarta. Cuba memerhatikan wajah awalnya dari udara. Asalnya ia berbalam-balam dari jauh. Di simbah matahari yang menyilaukan, kemudian perlahan-lahan mendekati Jakarta. Ratusan kapal dagang masuk dan keluar dari satu punca melewati lautnya yang biru dan tenang tidak bergelora.

“Itu pelabuhan Pelabuhan Tanjong Priok.” Telunjuk Dewi pantas menunjukkan arah yang menjadi pusat penglihatan saya.

“Pelabuhan utama?”

“Ya, dan sangat sibuk.”

Apabila pesawat semakin rendah, semakin jelas juga penglihatan pada wajah Jakarta. Pandangan saya segera tertancap pada kawasan penempatan yang di dirikan menghala ke gigi pantai. Kelihatan rumah yang dibina berselerak dan aturannya bengkang bengkok bagai ular kena palu. Jarak antara sesebuah rumah sangat rapat. Malah tidak kelihatan langsung halaman rumah seperi kebiasaan kita di tanah air. Kawasan ini dipisahkan oleh sebatang sungai. Di seberangnya, kelihatan bangunan pencakar langit berdiri di pinggir laut. Deretan bangunan yang lebih rendah menghimpit di sisi kiri, kanan, depan dan belakangnya.

Saya membetulkan duduk lalu melihat pada pemandangan lain yang di bawa oleh kapal terbang. Ada semacam kawasan kilang di kelilingi rumah-rumah yang rapat. Di sisinya ada semacam bandar kecil yang di hubungkan oleh jalan raya yang baik. Sesetengah kawasannya di biarkan kosong dan menghijau. Entah sama ada berfungsi sebagai kawasan penampan atau tanah yang dibiarkan kosong sebelum dibangunkan. Kedudukan penempatan dan kilang  menjadikan saya berpandangan kawasan perumahan dan kawasan kilang tidak di pusatkan dalam satu kawasan yang tertentu.

“Benar ya, nampak padat kehidupan Jakarta,” saya memberi ulasan awal. Dewi tidak membalas kata saya lalu membiarkan saya memerhati tanah Jawa. Tangan saya tidak berhenti mengetik foto sambil sesekali mencatat apa yang perlu.

 Di suatu sudut yang lain, terbentang kawasan berkotak-kotak berisi air. Mahu di katakan sawah padi, tidaklah ia berwarna hijau. Saya memerhatikan sambil cuba meneka. Akhirnya dapatlah saya ketahui itu sebenarnya kolam penternakan udang. Cukup luas kolam yang di bina. Dari kawasan penempatan hingga ke pinggir laut. Ada semacam batasan di antara setiap kolam membentuk segiempat tepat dan setiap kotak itu mempunyai lebar yang sama membentuk satu pemandangan kekotak yang menarik bila dilihat dari udara.

Di sisi lain, ada bertompok-tompok kawasan penempatan di selangseli pokok-pokok nan rendang menghijaukan suasana lalu memberikan pemandangan yang berbeza. Ada jaringan jalanraya empat lorong tanpa kenderaan yang banyak melewatinya. Satu gambaran bahawa suasana pagi Sabtu di Jakarta cukup tenang. Warna warni kehijauan berselang seli rumah berselerak dan bumbung yang berkarat menyambut kehadiran kami ke Jakarta.

19 Disember 2009

Perkenalan

Pertama, saya bukanlah seorang yang sangat gemar berjalan atau berlibur. Tetapi seorang pengamat sesuatu keadaan. Jika terpandangkan sesuatu, saya akan fikir. Jika terlihatkan sesuatu, saya akan renung. Jika terdengar sesuatu saya akan diam. Mengamati dan memikir.

Kedua, apabila berkesempatan berpergian, saya pastikan ada tanda mata lahir daripadanya. Kalau orang lain suka merakam foto sendiri, saya tidak. Saya senang mencatatkan apa yang ada dan gambar yang saya ambil pun menceritakan apa yang saya tuliskan. sebaik habis perjalanan, saya akan menulis panajng akan apa yang saya lihat. Kiranya pemergian saya yang sekali-sekala itu merakan pelbagai perkara luar dari kotak kembara.

Dua perkara ini kemudia membentuk diri saya dan memaksa saya melahirkan blog ini. Sebuah catatan kembara dalam pencarian diri dan mengenali bumi Ilahi.