Selasa, 12 Julai 2011
Stesen Keretapi Gemas
Bercerita tentang Stesen Keretapi Tanjong Pagar, teringat pula singgahan saya ke Stesen Keretapi Gemas yang letaknya di Gemas, Negeri Sembilan dua tahun yang lalu.
Sejak sekolah, semua rakyat Malaysia tahu betapa signifikannya stesen keretapi ini yang menjadi tulang belakang pengangkutan negara dalam mengangut hasil bumi dari stesen ke pelabuhan-pelabuhan utama dan bandar besar. Semua juga tahu betapa di Gemas, landasan berpecah membentuk huruf Y - satu cabang menghala ke pantai timur dan satu cabang lagi menuju ke utara dengan singgah terlebih dahulu ke Kuala Lumpur.
Landasan yang menghala ke pantai timur itulah yang melewati kebun getah abah, yang menjadi hiburan kami ketika kecil mengejar dan melambai keretapi yang lalu tepat jam 11 pagi, setiap hari tanpa lelah.
Stesen Keretapi Gemas ini senasib stesen Keretapi Tanjong Pagar - usang dan tua. Namun begitu ia tidak seagam jirannya di Temasek dengan binaan bernuansa koloni. Stesen Keretapi Gemas berdiri dengan kayu dan konkrit yang minina. Tidak ada yang berlebihan - pejabat penguasa stesen, kantin, kaunter tiket, tandas, ruang menunggu, pejabat bungkusan, pejabat polis, jejantas - semuanya tampak sederhana dan ringkas.
Landasannya berselirat. Menghala ke depoh atau sekadar dibina untuk menempatkan koc membawa kontena. Banyak gerabak usang tidak terpelihara, kepala gerabak yang tidak berfungsi duduk bebas di landasan tidak digunakan, rumput sudah memanjang tidak dipotong, kuarters usang menanti waktu untuk roboh dan koc kontena menanti waktu untuk berlepas.
Suatu masa dahulu, stesen keretapi ini seperti hidup segan mati tak mahu. Tatkala bandar Gemas menjadi laluan utama dan persinggahan pemandu dari pantai timur (Kuantan), Bahau, Kuala Lumpur (menerusi lebuhraya dan masuk di Simpang Ampat atau Alor Gajah) menuju ke selatan (alternatif lain ialah Tangkak dan Mersing), stesen keretapi ini kian dilupakan. Ia juga laluan kami pulang kek kampung. Dan setiap kali lalu lalang, akan terlihatlah stesen keretapi ini yang dimakan usia. Kadang kala nampak ia seperti baru di kemas, baru dicat. Di hari lain ia seolah-olah dibiarkan tidak bernyawa.
Pun begitu, ia ada nostalgia. Nuansa tradisi yang masih kekal seperti pada papan tanda, pokok kepala di pinggir landasan, wajah stesen ini masih punya nilai dan harga.
Stesen Keretapi Gemas kini diberi nafas baru. Dengan adanya ikhtiar terhadap pojek Landasan Berkembar Elektrik Seremban – Gemas, stesen yang luas dan besar ini kian hidup dan sibuk. Para kontraktor, pekerja, kenderaan berat, lori, kren, peniaga dan penjawat awam sering keluar masuk memastikan ia siap menjelang Ogos 2012. Projek sepanjang 98.2km ini dibina oleh IRCON International Ltd, anak syarikat Indian Railway, pada Januari 2008 dijangka memberi perkhidamatan tren berkuasa laju dengan kelajuan 140km sejam.
Nampaknya hayat Stesen Keretapi Gemas ini bolehlah bertahan untuk 100 tahun lagi...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan