Seorang kawan memberitahu, Sabah adalah sebuah negeri yang serba lengkap. Ada banjaran gunung yang menghijau sekaligus menempatkan puncak tertinggi di Asia Tenggara, Gunung Kinabalu. Lautnya yang menjadi sempadan antarabangsa jernih membiru dari udara. Hutannya menghijau dan pepohon yang tegak berdiri masih banyak lagi yang kekal menjadi hutan simpan dan sumber rezeki bagi penduduk yang masih bergantung kepada hasil hutan. Banjaran gunung turut mempunyai gua yang luas dan besar bagi hidupan liar yang ada kalanya sukar ditemui ditempat lain. Pantainya yang bersih dan pasir yang memutih sentiasa memukau perhatian pelancong untuk bersantai dibawah terik mentari. Kawasan tanah tinggi bersuhu sejuk menjadikan sayur-sayuran dan buah-buahan kelihatan segar dan enak dilihat sebaik sahaja dituai. Masyarakatnya pula pelbagai dan dari berbeza jalur keturunan. Perkahwinan campur membentuk kelompok masyarakat baru dengan lenggok bahasa yang unik dan tersendiri.
Perjalanan menerusi udara tatkala menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mahupun Terminal Tambang Murah di Tanjung Aru sudah cukup memberikan pemandangan yang pelbagai terhadap Sabah yang menghijau dan membiru dari kejauhan. Kurang sekali kelihatan hutan batu dan bangunan konkrit yang hanya terlihat di pusat bandar Kota Kinabalu.
Keadaan ini semakin menjadikan Sabah sebagai negeri yang serba-serbi dan indah untuk dinilai dengan wang ringgit tatkala mahu mencari tempat untuk berkelana nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan