Selasa, 12 Julai 2011

Jakarta-Bandung-Bogor 1

 Pemandangan Jakarta dari udara sudah menggambarkan ia kota padat penduduk. Penjuru kiri atas ialah Pelabuhan Tanjong Priok

Ketika itu Garuda berlegar di udara sambil menanti waktu mencecahkan rodanya ke landasan Bandara. Saya menjenguk kepulauan Jawa yang menempatkan kota metropolitan Jakarta. Cuba memerhatikan wajah awalnya dari udara. Asalnya ia berbalam-balam dari jauh. Di simbah matahari yang menyilaukan, kemudian perlahan-lahan mendekati Jakarta. Ratusan kapal dagang masuk dan keluar dari satu punca melewati lautnya yang biru dan tenang tidak bergelora.

“Itu pelabuhan Pelabuhan Tanjong Priok.” Telunjuk Dewi pantas menunjukkan arah yang menjadi pusat penglihatan saya.

“Pelabuhan utama?”

“Ya, dan sangat sibuk.”

Apabila pesawat semakin rendah, semakin jelas juga penglihatan pada wajah Jakarta. Pandangan saya segera tertancap pada kawasan penempatan yang di dirikan menghala ke gigi pantai. Kelihatan rumah yang dibina berselerak dan aturannya bengkang bengkok bagai ular kena palu. Jarak antara sesebuah rumah sangat rapat. Malah tidak kelihatan langsung halaman rumah seperi kebiasaan kita di tanah air. Kawasan ini dipisahkan oleh sebatang sungai. Di seberangnya, kelihatan bangunan pencakar langit berdiri di pinggir laut. Deretan bangunan yang lebih rendah menghimpit di sisi kiri, kanan, depan dan belakangnya.

Saya membetulkan duduk lalu melihat pada pemandangan lain yang di bawa oleh kapal terbang. Ada semacam kawasan kilang di kelilingi rumah-rumah yang rapat. Di sisinya ada semacam bandar kecil yang di hubungkan oleh jalan raya yang baik. Sesetengah kawasannya di biarkan kosong dan menghijau. Entah sama ada berfungsi sebagai kawasan penampan atau tanah yang dibiarkan kosong sebelum dibangunkan. Kedudukan penempatan dan kilang  menjadikan saya berpandangan kawasan perumahan dan kawasan kilang tidak di pusatkan dalam satu kawasan yang tertentu.

“Benar ya, nampak padat kehidupan Jakarta,” saya memberi ulasan awal. Dewi tidak membalas kata saya lalu membiarkan saya memerhati tanah Jawa. Tangan saya tidak berhenti mengetik foto sambil sesekali mencatat apa yang perlu.

 Di suatu sudut yang lain, terbentang kawasan berkotak-kotak berisi air. Mahu di katakan sawah padi, tidaklah ia berwarna hijau. Saya memerhatikan sambil cuba meneka. Akhirnya dapatlah saya ketahui itu sebenarnya kolam penternakan udang. Cukup luas kolam yang di bina. Dari kawasan penempatan hingga ke pinggir laut. Ada semacam batasan di antara setiap kolam membentuk segiempat tepat dan setiap kotak itu mempunyai lebar yang sama membentuk satu pemandangan kekotak yang menarik bila dilihat dari udara.

Di sisi lain, ada bertompok-tompok kawasan penempatan di selangseli pokok-pokok nan rendang menghijaukan suasana lalu memberikan pemandangan yang berbeza. Ada jaringan jalanraya empat lorong tanpa kenderaan yang banyak melewatinya. Satu gambaran bahawa suasana pagi Sabtu di Jakarta cukup tenang. Warna warni kehijauan berselang seli rumah berselerak dan bumbung yang berkarat menyambut kehadiran kami ke Jakarta.

19 Disember 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan