Selasa, 12 Julai 2011

Lembah Bujang 1


Perjalanan mengambil adik yang baru selesai pengajiannya di UiTM Sungai Petani pada Mei 2009 membawa kami sekeluarga ke Muzium Arkeologi Lembah Bujang, Merbok, Kedah. Pasti ada yang hairan bagaimana kami sekeluarga memilih tempat ini sebagai lokasi lawatan, tetapi inilah minat kami sekeluarga. Unik, bukan?  :-)

Pengetahuan saya tentang tapak arkelogi Lembah Bujang cuma sebatas pengajian disekolah menengah. Ada candi yang besar dan tinggalan-tinggalan dari batu yang membentuk monumen ibadat yang menjadi kajian para pengkaji sejarah. Namun kesempatan lawatan itu membuka dimensi baru terhadap pandangan saya akan Lemabh Bujang.

Foto diatas memaparkan betapa Lembah Bujang bukan sekadar menempatkan tempat beribadat. Ia bermula dari kuala sebagai sebuah pelabuhan besar yang menjadi pusat perdagangan yang membawa masuk barangan, tempat pertukaran dagangan peniaga sebelum dibawa hasilnya ke lokasi lain. Boleh kita katakan Lembah Bujang ini telah maju beratus-ratus tahun sebelum Melaka menjadi entrepot. Kajian mendapati kerajaan Lembah Bujang wujud pada abad ke-5. Malah, ada juga penyelidikan yang mengatakan nama Lembah Bujang telah disebut sejak dari kurun ke-2.

Tapak Arkeologi Lembah Bujang ini sangat luas dan mencecah sehingga ke Ceruk Tokun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Ia menganjur sepanjang sungai yang menjadi pengangkutan utama, melingkungi Gunung Jerai yang menjadi pedoman pelayaran pedagang diwaktu malam. Setiap kawasan yang boleh dihubungkan dengan laluan air ini merupakan penempatan yang makmur dan maju. Oleh itu, banyak sekali artifak ditemui di sekitar sungai, membawa kepada pembinaan candi-candi yang besar di kaki bukit sehinggalah kepada Gunung Jerai yang punya mitos tersendiri.

Kajian terhadap Lembah Bujang berterusan sejak 1960-an dan masih berjalan sehingga kini. Kerajaan negeri ketika mahu membangunkan kawasan sekitar sebelum ini seringkali menemui banyak benda yang tidak terduga. Keadaan ini menyebabkan Lembah Bujang perlu diselamatkan bagi melindungi artifak yang masih tertanam di dasar bumi. Masih banyak lagi yang perlu dikaji dan proses ekskavasi yang berterusan dilaksanakan bagi memastikan sejarah lampau dapat di nikmati dengan lebih adil dan tels.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan